17 DIS : Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Johor (JIPS) telah membuka sebanyak 230 kertas siasatan tatatertib yang membabitkan 32 pegawai kanan, 246 pegawai rendah dan dua pegawai awam sejak Januari lalu hingga hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata, JIPS Johor turut membuka 161 kertas inkuiri tatatertib membabitkan 78 pegawai kanan dan 152 anggota pangkat rendah berhubung tohmahan dan surat layang.
“Sehingga kini, 46 anggotan telah dibuang kerja, 14 anggota digantung kerja dan 45 pegawai kanan dan anggota ditahan kerja, di atas pelbagai kesalahan jenayah dan salah laku.
“JIPS juga mengesan seramai 22 pegawai dan anggota yang mempunyai rekod jenayah lampau termasuk ada yang dikesan sebagai orang yang dikehendaki sebelum memasuki perkhidmatan polis. Mereka ini masih lagi berkhidmat dan akan diambil tindakan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Selian itu, pihak polis menurut Ayob, turut menerima aduan berkaitan salah laku sukarelawan polis (PVR).
“Berdasarkan semakan latar belakang dua pegawai dan 42 anggota dikesan mempunyai rekod jenayah semasa dalam perkhidmatan PVR dengan ada yang sudah pun disabitkan dengan kesalahan. Mereka juga masih berkhidmat di balai polis dan saya akan syorkan untuk ditamatkan perkhidmatannya dalam waktu terdekat,” katanya.
JIPS kata Ayob Khan lagi, memberi jaminan bahawa setiap aduan akan disiasat dengan telus dan tidak akan melindungi setiap kesalahan salah laku yang sudah dikenal pasti.