17 DIS: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam sektor perladangan dan industri komoditi agar sentiasa mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446).
Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pematuhan terhadap akta berkenaan juga adalah amat kritikal bagi sektor perladangan dan industri komoditi.
Menurut beliau, langkah itu bertujuan memberi keyakinan kepada pihak antarabangsa bahawa kerajaan Malaysia serius dalam usaha menangani isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak yang didakwa berlaku di negara ini.
“Dalam hal ini, KPPK ingin memberi peringatan kepada semua pihak yang terlibat dalam sektor perladangan dan industri komoditi agar sentiasa patuh kepada undang-undang termasuk yang berkaitan Akta 446 bagi memastikan kebajikan pekerja sentiasa dititikberatkan.
“KPPK dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan akan terus menyokong serta membantu sektor perladangan dan industri komoditi dalam mengamalkan sistem perburuhan yang baik,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Khairuddin mengulas tentang pelanggaran melibatkan kemudahan kediaman bagi pekerja asing oleh beberapa syarikat sarung tangan getah dan perabot yang didapati tidak mematuhi peraturan seperti ditetapkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
Akta 446 bertujuan untuk menambah baik Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing 2018 yang meliputi standard ruang minimum kediaman, kemudahan asas bagi rumah dan pekerja selain elemen keselamatan serta kebersihan yang perlu diberi perhatian oleh pihak majikan. – Oleh HUSSAINI AMRAN