Tetap sokong Belanjawan biarpun ketika jadi pembangkang
17 DIS : Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri menegaskan, ahli parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetap menyokong belanjawan negara biarpun ketika menjadi pembangkang kerana memikirkan nasib dan kepentingan rakyat di negara ini.
Apatah lagi menurut beliau, ahli parlimen UMNO dan BN kini sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan dan ditakdirkan pula mentadbir dalam keadaan negara sedang dilanda musibah pandemik Covid-19, yang memberikan kesan besar kepada ekonomi rakyat di negara ini.
“Jika kita lihat semasa BN menjadi pembangkang, semua ahli parlimen BN tetap menyokong belanjawan kerajaan ketika itu kerana apa yang menjadi keutamaan perjuangan BN adalah nasib dan kepentingan rakyat.
“Apatah lagi hari ini, UMNO dan BN sudah menjadi sebahagian dari kerajaan, sudah tentulah kita bersepakat bahawa Belanjawan 2021 ini perlu disokong dalam merealisasikan usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya golongan yang amat memerlukan kerana terjejas dengan pandemik Covid-19 ini.
“BN sememangnya sejak dahulu lagi sehingga hari ini, sentiasa akan mendahulukan kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat, biarpun ketika menjadi pembangkang, apatah lagi hari ini dalam keadaan negara dilanda musibah seperti ini,” ujarnya dalam satu kenyataan melalui facebook rasminya.
Jelasnya lagi, Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 yang lulus di peringkat dasar baru-baru ini merupakan bukti UMNO dan BN benar-benar telus dan jujur dalam memperjuangkan nasib serta kepentingan rakyat.
“Meskipun terdapat cubaan untuk menggagalkan belanjawan ini melalui undi belah bahagi tetapi sikap solidariti dalam kepimpinan BN berjaya membawa kepada kelulusan belanjawan ini,” tegasnya lagi.
Katanya yang juga Ahli Parlimen Bera, perjuangan BN tidak pernah lari dan tidak akan berubah, sentiasa mendahulukan rakyat selari dengan slogan UMNO ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.
“Biarpun ahli parlimen UMNO, BN menyokong bajet ini, namun kita juga telah membangkit beberapa perkara kepada kerajaan untuk memastikan beberapa perubahan dibuat dalam bajet tersebut, agar ia lebih mesra rakyat.
“Ini terbukti apabila BN menyuarakan hasrat rakyat dan bertegas agar kerajaan melulus dan mempermudahkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagaimana yang diharapkan rakyat agar ia dapat meringankan kos sara hidup rakyat yang makin terhimpit akibat COVID-19,” jelasnya.- Hafiz Hamzah