17 DIS: Kerajaan memilih untuk menandatangani perjanjian pembelian awal dengan syarikat farmaseutikal Pfizer pada 24 November lalu adalah berdasarkan kepada laporan interim ujian klinikal dan mempunyai tahap keberkesanan 95 peratus dalam mencegah jangkitan pandemik COVID-19.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata laporan hasil keberkesanan vaksin Covid-19 dikeluarkan Pfizer juga telah diterbitkan di The New England Journal of Medicine pada 10 December 2020 dan Kerajaan turut mendapat akses data untuk menilai kualiti, keselamatan dan tahap keberkesanannya.
“Vaksin ini juga telah mendapat Emergency Use Authorization daripada tujuh negara termasuklah United Kingdom, Amerika Syarikat, Bahrain, Kanada, Arab Saudi, Mexico dan Singapura.
“Bagaimanapun, keputusan pembelian akhir serta penggunaan vaksin tersebut di Malaysia adalah tertakluk kepada pendaftaran dan kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan.
“Proses ini telah bermula dan semua data yang dibekalkan oleh pihak Pfizer akan diteliti oleh NPRA. Bekalan vaksin COVID-19 daripada syarikat Pfizer ini dijangka akan mula diterima pada suku pertama tahun 2021 merangkumi 12.8 juta dos bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat,” katanya dalam sesi waktu pertanyaan menteri sidang Dewan Rakyat hari ini.
Khairy menjawab soalan dibangkitkan oleh Ahli Parlimen PH Bagan, Lim Guan Eng yang memintanya menyatakan tentang kos, keberkesanan dan liputan penduduk untuk vaksin Pfizer, khususnya tempoh imuniti.
Guan Eng juga ingin tahu bilakah ia akan dilaksanakan dan jaminan perubatan ke atas kesan sampingan negatif agar meyakinkanrakyat menerima dua dos dengan selamat.
Bekas Menteri Kewangan itu juga meminta Khairy menyatakan juga mengapa Pfizer dipilih dan bukan vaksin daripada syarikat lain termasuk di Amerika Syarikat, China, Rusia serta perbandingan kos dan keberkesanan vaksin-vaksin tersebut.
Mengulas lanjut, Khairy berkata kerajaan juga menubuhkan Jawatankuasa Khas Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) telah ditubuhkan dengan objektif untuk memastikan bekalan vaksin COVID-19 diperoleh dengan segera, selamat dan sempurna.
Khairy berkata, JKJAV dipengerusikan oleh beliau sendiri itu ditubuhkan bagi tujuan menyediakan rangka kerja dan pelan perolehan serta pengagihan vaksin COVID-19 apabila ia diluluskan untuk kegunaan di Malaysia
“Selain vaksin COVID-19 daripada syarikat Pfizer, Malaysia juga telah menyertai fasiliti COVAX yang menjamin akses bekalan vaksin sebanyak 10 peratus populasi negara.
“JKJAV ketika ini sedang mempertimbangkan calon-calon vaksin lain yang berada di fasa 3 ujian klinikal bagi tujuan imuniti kelompok (herd immunity) sehingga 70 peratus jumlah populasi negara. Pengumuman mengenai ini dan senarai keutamaan penerima vaksin akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI