18 DIS: Sebanyak lapan buah institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan berjaya menerima penarafan enam bintang di bawah Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (SETARA) bagi tahun 2018/2019.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, lapan buah universiti tersebut adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), International Medical University (IMU) dan Monash University Malaysia.
Menurut beliau, ini diikuti oleh 30 IPT yang mendapat penarafan lima bintang, 30 IPT mencapai empat bintang manakala 15 buah IPT mencapai tiga bintang, dua IPT dengan penarafan dua bintang dan hanya sebuah IPT sahaja yang mendapat penarafan satu bintang.
“Bagi penarafan Sistem Penilaian Kualiti dan Kesetaraan Kolej Swasta (MyQUEST), sebanyak 14 buah kolej swasta telah berjaya mencapai penarafan enam bintang iaitu Kolej SEGi Subang Jaya, Kolej Sunway (Kuala Lumpur), Institut Teknologi Maklumat Asia Pasifik (APIIT), Kolej SEGi Kota Damansara, Kolej Poly-Tech MARA Kuantan, Kolej SEGi Pulau Pinang, Kolej
Antarabangsa Putra, Kolej Equator, Kolej Despark, Kolej SEGi Sarawak, Kolej IBS, Kolej Integrasi Perkembangan Kemahiran (IPK), Kolej Hafiz dan Institut Antarabangsa Sains Mantin.
“Ini diikuti oleh 54 buah kolej yang mendapat penarafan lima bintang, 88 buah mencapai empat bintang, 40 buah kolej dengan tiga bintang dan 11 buah kolej telah diberi penarafan dua bintang. Keputusan penuh bagi Penarafan IPT Malaysia tahun 2018/2019 boleh dilayari melalui portal http://jpt.mohe.gov.my/portal, ” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
SETARA dan MyQUEST menggunakan sistem penarafan bintang daripada skala satu bintang ke enam bintang di mana paras enam menunjukkan sesebuah IPT itu berada pada tahap cemerlang dan mempunyai daya saing di peringkat antarabangsa.
Manakala satu bintang menunjukkan IPT tersebut kurang berdaya saing dan tidak memenuhi kriteria minimum.
Noraini memberitahu, Penarafan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia bagi sesi 2018/2019 menunjukkan bahawa IPT telah melaksanakan penambahbaikan secara berterusan dalam menyediakan pendidikan tinggi yang berkualiti dan berimpak tinggi kepada pelajar.
Tambah beliau, perkembangan ini juga memperlihatkan bahawa sektor pendidikan tinggi negara berada pada landasan yang betul dalam merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) dengan memberi penekanan terhadap kualiti akademik,kebertanggungjawaban dan prestasi setiap IPT di Malaysia.
“Kementerian akan sentiasa melaksanakan penambahbaikan dan pemantapan ke atas SETARA dan MyQUEST selaras dengan perubahan persekitaran dan ekosistem
pendidikan tinggi negara.
“Penyesuaian tersebut akan mengambil kira pembudayaan norma baharu dalam sistem penyampaian pendidikan, penekanan kepada agenda pendigitalan,Teknologi Pendidikan berasaskan Revolusi Industri 4.0 dan kriteria lain yang relevan. Penarafan seterusnya dirancang untuk dilaksanakan pada tahun 2022.
Jumlah keseluruhan IPT yang menyertai penarafan SETARA bagi sesi 2018/2019 sebanyak 86 buah manakala 207 buah kolej swasta pula menyertai penarafan MyQUEST bagi tahun yang sama. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH