18 DIS: Polis Kuala Lumpur berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di pusat hiburan dan parti liar, dikenali sebagai Geng Fei Long dengan penahanan tujuh lelaki lelaki bersama dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM2.5 juta.
Difahamkan sindiket yang aktif sejak enam bulan lalu itu dikesan memasarkan dadah yang siap dibungkus, serta memasukkannya dalam botol minuman ringan untuk kegunaan mereka yang berhibur di pusat hiburan dan parti liar.
Bagaimanapun, kegiatan haram mereka terbongkar selepas sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menahan tujuh suspek berusia 25 hingga 51 tahun dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang, bermula Isnin lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin, berkata dalam serbuan pertama, polis menahan dua lelaki dan menemui sejumlah dadah jenis methamphetamine di sebuah kediaman di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, pada 14 Disember lalu.
“Hasil soal siasat ke atas suspek membawa kepada tangkapan dua lagi suspek dan merampas dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 100 gram pada hari sama di tempat letak kereta di Seksyen 13 Petaling Jaya, Selangor.
“Beberapa jam selepas itu, pasukan polis bersama suspek pergi ke sebuah rumah di lokasi sama dan menemui dadah jenis ekstacy dianggarkan seberat 1.26 kilogram dan ketamin seberat 631 gram,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut, Saiful Azly berkata, polis kemudian melakukan dua lagi serbuan secara serentak di sebuah rumah di Petaling Jaya dan sebuah kereta di Jalan Peel, Cheras, kira-kira jam 8 malam pada Selasa lalu.
“Di situ, dua suspek ditahan termasuk dalang utama dan polis juga menemui bungkusan plastik berisi dadah jenis ketamin dianggarkan seberat 1.8 kilogram serta wang tunai RM420.
“Polis juga menahan seorang lelaki dalam kereta Toyota Camry dan merampas dadah disyaki MDMA seberat 5.3 kilogram dan 96 botol minuman berisi cecair dadah berjumlah 48 liter,” katanya.
Hasil penahanan kesemua suspek itu kemudiannya membawa kepada pembongkaran tempat persembunyian dadah di sebuah rumah di Jenjarom, Selangor dan menjumpai dadah jenis ketamin seberat 36 kilogram.
“Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 22 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Berita Yang Berkaitan