18 Dis : Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, satu mesyuarat parti-parti politik kerajaan Sabah akan diadakan tahun depan bagi membincangkan cadangan penubuhan Majlis Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau berkata, mesyuarat tersebut dijadualkan pada 11 Januari 2021 untuk membincangkan penubuhan Majlis Presiden tersebut Majlis Presiden bersama gabungan Perikatan Nasional (PN), BN dan Parti Bersatu Sabah, yang berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menang Pilihan Raya Negeri pada 26 Sept lalu.
“Ya, kami akan membincangkan mengenainya (cadangan penubuhan Majlis Presiden GRS) dalam mesyuarat pada 11 Januari ini,” katanya.
Bung berkata demikian kepada pemberita selepas penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah bagi empat agensi kerajaan negeri hari ini.
Sebelum ini, Bung Moktar dilaporkan berkata, GRS perlu ada majlis presidennya sendiri yang berperanan dalam membincangkan isu-isu berbangkit secara lebih mendalam ke arah memperkukuhkan lagi gabungan berkenaan.
Pada 28 November, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan, supaya pertemuan antara ketua parti yang membentuk kerajaan PN diadakan secara lebih kerap.
Sehubungan itu, Muhyiddin berkata mungkin sudah sampai masanya sebuah Majlis Presiden yang dianggotai oleh ketua-ketua parti dalam PN, BN, GRS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) diwujudkan, bagi membolehkan mesyuarat secara berkala diadakan untuk membincangkan perkara berkaitan dengan dasar ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain.