18 DIS: Penubuhan Majlis Presiden Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diyakini mampu mengelakkan pertelingkahan antara parti terhadap dasar-dasar penting yang diperkenalkan Kerajaan yang tidak dirujuk kepada parti dalam perikatan hingga mencetuskan pergeseran.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Majlis Presiden berperanan untuk dijadikan platform buat Presiden parti-parti yang mendokong Kerajaan PN menyuarakan pendirian parti secara rasmi untuk diambil kira terhadap Kerajaan.
Walau bagaimanapun, menurut beliau, keputusan Majlis Tertinggi UMNO dan Dewan Tertinggi BN itu jelas bahawa parti itu mendokong Kerajaan PN sehingga PRU-15 dan tidak sesekali bersetuju untuk menyertainya sebagai salah satu parti komponen.
“Tujuannya (penting) untuk memastikan apa jua dasar-dasar penting negara dibincangkan terlebih dahulu dengan rakan-rakan kongsi daripada parti-parti politik yang bersepakat membentuk Kerajaan ini.
“Kerjasama UMNO dan BN dengan PN untuk Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti banyak bergantung kepada soal persefahaman dalam pengagihan kerusi.
“Ini bermakna pengagihan kerusi tidak lagi berasaskan perbincangan UMNO dengan PAS tetapi BN dengan PN, kerana PAS sudah secara rasmi menyertai PN sebagai parti komponennya,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Parti-parti di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan Majlis Presiden Kerajaan Perikatan Nasional yang akan dianggotai oleh ketua-ketua parti dalam perikatan tersebut.
Menurut Sekretariat Setiausaha Agung Parti-Parti Dalam Kerajaan Perikatan Nasional , Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Majlis Presiden yang bakal dianggotai oleh ketua-ketua parti itu akan dijadikan sebagai platform membincangkan dasar-dasar Kerajaan dan mengukuhkan kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan.
Mesyuarat antara ketua-ketua parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional itu dipengerusikan oleh Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Ketua-ketua Parti yang hadir pada mesyuarat tersebut adalah YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO), YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Presiden PAS), YB Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong (Presiden MCA), YB Prof. Dato’ Sri Dr. Sim Kui Hian (Presiden SUPP) dan YB Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili (Presiden PBS).
Turut hadir mewakili ketua-ketua parti yang lain adalah YB Datuk Amar Haji Awang Tengah (Timbalan Presiden PBB), YBhg. Datuk Joseph Salang Gandum (Timbalan Presiden PRS), YB Tuan Arthur Joseph Kurup (Timbalan Presiden PBRS), YBrs. Tuan Edward Dagul (Timbalan Presiden SAPP), YB Datuk Paul Igai (Naib Presiden PDP), YBhg. Datuk Asojan Muniyandy (Setiausaha Agung MIC), dan YB Senator Datuk Guan Dee Koh Hoi (Setiausaha Agung STAR).