19 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 249 individu atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata semua yang ditahan itu dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan.
“Daripada jumlah itu, 248 dikompaun dan seorang individu direman. Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk 132 individu gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal, 63 ditahan kerana tidak memakai pelitup muka dan 54 lagi gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengenai Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM, Ismail Sabri berkata, sebanyak 47,811 pemeriksaan dilakukan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Katanya, sebanyak 2,777 Pasukan Pematuhan membabitkan 12,489 anggota membuat pemantauan di 3,549 pasar raya, 4,761 restoran serta 1,794 penjaja, 1,144 kilang, 3,321 bank dan 548 pejabat kerajaan.
“Pemantauan juga dilakukan di 962 terminal pengangkutan darat, 245 terminal pengangkutan air serta 111 terminal pengangkutan udara,” katanya.