19 DIS : Kerajaan dijangka akan menerima bekalan pertama vaksin Covid-19 menjelang Februari tahun depan, demikian kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau yang merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, memberitahu, perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini.
“Ini merupakan bekalan awal dan ia akan terus dibekalkan sehingga penghujung 2021. Bekalan awal ini kita akan gunakan untuk barisan hadapan negara yang berdepan risiko tinggi untuk mengawal penularan COVID-19. Ini termasuk golongan ‘vulnerable’ juga akan didahulukan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program kawasan Parlimen Gombak, hari ini.
Kerajaan juga menurutnya, sedang berusaha untuk mendapatkan bekalan vaksin COVID-19 daripada syarikat-syarikat farmaseutikal lain.
“Kerajaan sedang berusaha mendapatkan bekalan vaksin yang lebih besar bagi mengikut keperluan negara dan pandangan Kementerian Kesihatan untuk mengetahui peratusan mereka yang perlu divaksin.
“Perdana Menteri turut mengarahkan supaya bekalan vaksin diperoleh segera walaupun harganya mahal demi melindungi dan menjaga keselamatan rakyat,” kata Ahli Parlimen Gombak itu.
Pada 24 November lalu, Malaysia mengumumkan bahawa ia akan mendapatkan bekalan awal sebanyak 12.8 juta dos vaksin COVID-19 daripada syarikat farmaseutikal Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini secara percuma.
Penghantaran bekalan pertama sebanyak satu juta dos akan dibuat pada suku pertama tahun depan disusuli dengan 1.7 juta (suku kedua), 5.8 juta (suku ketiga) dan 4.3 juta dos pada suku keempat tahun depan.