19 DIS: Jenazah Allahyarhamah Tun Rahah Mohamad Noah selamat dikebumikan di Lingkaran Makam Pahlawan kira-kira jam 3.15 petang tadi selepas selesai solat jenazah yang diimamkan Imam besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Husni sebentar tadi.
Solat jenazah itu turut disertai barisan pemimpin kanan negara, ketua jabatan kerajaan serta pemimpin pembangkang.
Selesai solat jenazah, istiadat itu diteruskan dengan penyerahan bendera Malaysia daripada wakil kerajaan kepada wakil keluarga allahyarhamah, disusuli dengan pengebumian jenazah.
Allahyarhamah Tun Rahah dikebumikan bersebelahan pusara kakaknya, Tun Suhailah yang juga ibu kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Suasana pilu dan hiba menyelubungi ahli keluarga Tun Rahah sewaktu upacara pengebumian sedang berjalan.
Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah mencemar duli apabila turut hadir dalam upacara pengebumian Allahyarhamah. Turut kelihatan hadir ialah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Terdahulu, jenazah Allahyarhamah tiba di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi untuk dimandi dan dikafankan sebelum orang ramai dibenar memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah bermula jam 9 pagi hingga jam 1 tengah hari ini.
Lebih 1,000 tetamu diraja, kenamaan dan orang biasa dibenarkan memberikan penghormatan terakhir di Masjid Ar Rahah,
Antara tetamu diraja yang berangkat menziarahi Allahyarhamah Tun Rahah ialah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
Turut menziarahi Allahyarhamah ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan isterinya Toh Puan Ragad Kurdi Taib.
Antara tokoh politik dan wakil rakyat yang hadir adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin; Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dan Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin serta Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Turut memberi penghormatan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman.
Tun Rahah, 87, meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court petang semalam.- Oleh Haika Khazi