19 DIS: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini mencemar duli berangkat tiba di masjid Ar Rahah Kampung Kerinchi untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Tun Rahah yang meninggal dunia petang semalam.
Sultan Nazrin tiba bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim kira-kira jam 9.50 pagi.
Sebelum itu, Sultan Sharafuddin bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, tiba di perkarangan masjid pada jam 9.15 pagi.
Sementara itu, perkarangan Masjid Ar-Rahah, di Kampung Kerinchi, di sini mula ‘dibanjiri’ orang ramai yang beratur untuk menunggu giliran menziarah.
Barisan di kanan pintu masuk masjid itu kebanyakan terdiri daripada golongan wanita, merangkumi pelbagai usia yang sabar menanti peluang untuk memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarhamah Tun Rahah Mohamad Noah.