19 DIS : Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad kelihatan sebak dan mengalirkan air mata ketika menziarahi jenazah Allahyarhamah Tun Rahah di Masjid Tun Rahah Kampung Kerinchi hari ini.
Beliau yang hadir bersama isterinya, Tun Siti Hasmah menyifatkan pemergian Tun Rahah sebagai satu kehilangan besar buat negara.
“Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah banyak menabur jasa dalam membantu suaminya, Tun Abdul Razak Hussein ketika menjadi Perdana Menteri Kedua,”
“Allahyarhamah sebagai antara generasi merdeka terakhir yang tidak ternilai jasa dan sumbangannya kepada negara.
“Allahyarhamah merupakan generasi ‘merdeka’. Tak banyak orang yang generasi merdeka yang masih ada hidup. Mungkin beliau antara yang terakhir,” ujarnya ketika memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah.
Beliau dan isteri turut ditemani anaknya, Datuk Seri Mukhriz serta beberapa kenalan yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin juga berkata pemergian Allahyarhamah adalah satu kehilangan besar kepada negara.
“Sudah pasti sumbangan Tun Rahah kepada negara sangat-sangat besar, terutamanya sebagai seorang yang telah membantu Tun Razak membina semula negara,” katanya.
Beberapa ahli politik pembangkang turut hadir memberi penghormatan terakhir antaranya seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari Young Syefura Othman, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Ahli Parlimen Bakri Yeo Bee Yin dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.
Jenazah Allahyarhamah Tun Rahah baru tiba sebentar tadi di Masjid Negara untuk urusan pengebumian di Makam Lingkaran Pahlawan sebaik selesai solat jenazah di Masjid Tun Rahah Kampung Kerinchi tengahari tadi.