20 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 672 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan PKP.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 643 individu telah dikompaun dan 29 orang lagi direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan (442), tidak memakai pelitup muka (90), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (78), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (37) dan lain-lain (25),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau memberitahu, pasukan keselamatan juga berjaya menahan seramai 83 pendatang asing tanpa izin dan seorang tekong serta merampas tiga buah kenderaan darat dalam Op Benteng semalam.
Secara keseluruhan, Ismail Sabri menjelaskan, sebanyak 118 sekatan jalan raya dilakukan semalam melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 39 operasi sanitasi awam dijalankan di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di seluruh negara, semalam.
Operasi itu meliputi 11 Zon Merah, 2 Zon Jingga, 10 Zon Kuning dan 3 Zon Hijau yang melibatkan 11 buah negeri dan 2 wilayah persekutuan iaitu Sabah (9 operasi), Melaka (8 operasi), Johor (4 operasi), Pahang (3 operasi), Pulau Pinang (2 operasi), Negeri Sembilan (2 operasi), Sarawak (1 operasi), Perak (1 operasi), Kedah (1 operasi), Kelantan (1 operasi), Terengganu (1 operasi), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (5 operasi) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (1 operasi).
Penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) turut memeriksa tujuh tapak binaan semalam dan kesemuanya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. – Oleh HUSSAINI AMRAN