20 DIS: Pelbagai pihak mencadangkan agar Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan dan bahasa pelbagai etnik utama di negara ini untuk meningkatkan pengetahuan pelajar tentang aspek kepelbagaian kaum.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, antara tulisan etnik yang boleh diketengahkan adalah tulisan Cina dan Tamil serta bahasa Kadazandusun dan Iban sebagai tambahan kepada tulisan jawi.
Menurut beliau, cadangan itu dikumpulkan hasil pertemuan dengan wakil-wakil pelbagai pertubuhan sepanjang tempoh sembilan bulan.
“Hasil perbincangan, mereka telah mencadangkan Kementerian Pendidikan untuk menambahkan pengenalan tulisan Cina, Tamil, bahasa Kadazandusun dan Iban, selain melaksanakan pengenalan tulisan Jawi.
“Kami perlu memberitahu bahawa Malaysia merupakan negara masyarakat majmuk yang mempunyai etnik Kadazandusun serta Iban selain tiga kaum utama,” katanya seperti dilaporkan Sin Chew Daily hari ini.
Hang Soon menambah, inisiatif yang dijalankan itu adalah sekadar memperkenalkan tentang semua tulisan serta bahasa tersebut dan bukan kemahiran menguasainya.