20 DIS: Keputusan rasmi berhubung pengagihan kerusi antara PAS dengan UMNO dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Ke-15 (PRU-15) hanya akan dibuat selepas Parlimen dibubarkan.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pada masa ini, PAS masih lagi berbincang dengan UMNO dan PN tentang perkara itu.
“Kerjasama UMNO dan BN dengan PN untuk PRU-15 akan banyak bergantung kepada soal persefahaman dalam pengagihan kerusi.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga ketika ini bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk PRU-15 yang dijangkakan berlaku dalam masa terdekat,” katanya kepada media selepas mengadakan perjumpaan bersama Datuk Bandar dan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) Kedah di Baling, hari ini.
Beliau menambah, sebarang kenyataan rasmi berhubung pengagihan kerusi antara PAS dan UMNO hanya boleh dibuat oleh Presiden parti masing-masing.
Sehubungan itu, Takiyuddin menganggap kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki baru-baru ini berhubung pengagihan kerusi tidak mewakili pendirian partinya.
Beliau turut menegaskan, kerjasama UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) tidak akan terkubur.
Beliau merujuk kepada kenyataan Asyraf sebelum ini bahawa pengagihan kerusi tidak lagi berasaskan perbincangan UMNO dengan PAS, tetapi antara BN dengan PN kerana PAS secara rasmi telah menyertai PN sebagai parti komponennya.
Walau bagaimanapun, pihak tertentu yang kurang memahami maksud kenyataan tersebut mendakwa kononnya UMNO dan PAS yang bekerjasama dalam kerangka Muafakat Nasional tidak lagi mempunyai persefahaman.