20 DIS: Bagi memastikan negara mendapat faedah apabila sumber biologi yang diterokai dapat dikaji, penguatkuasaan Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 (Akta 795) amat penting kepada Malaysia yang mampu dibangunkan kepada produk yang mempunyai nilai.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia sekali gus dapat membanteras ‘biopiracy’ iaitu sumber biologi negara diambil dan dibangunkan tanpa izin sehingga negara tidak mendapat apa-apa faedah daripadanya.
Menurut beliau, dengan berkuatkuasanya Akta 795, pihak perkuasa kompeten iaitu entiti di peringkat negeri memainkan peranan penting dalam pengurusan Access and Benefit Sharing (ABS), ia termasuk program kesedaran isu yang antaranya meliputi pengeluaran permit dan kutipan fi, penyelenggaraan rekod dan pelaporan kepada pihak berkuasa kompeten kebangsaan secara berkala.
”Akta 795 boleh mendatangkan manfaat yang meliputi faedah kewangan dan bukan kewangan. Faedah kewangan termasuk royalti, fi bagi permit penyelidikan dan paten yang dihasilkan daripada pengkomersialan produk yang diperoleh daripada sumber biologi.
”Manakala faedah bukan kewangan pula antaranya termasuk perkongsian hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D), latihan melalui pertukaran penyelidikan dan penyelidikan kolaboratif, pemilikan bersama hak harta intelek, pemindahan teknologi dan peningkatan infrastruktur penyelidikan dan peluang pekerjaan kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Malaysia merupakan 12 buah negara di dunia yang paling kaya dengan khazanah biodiversiti (mega-biodiversity) dan kekayaan ini berpotensi besar untuk pembangunan dan penciptaan produk baharu dalam industri farmaseutikal dan nutraseutikal seperti ubat-ubatan, makanan tambahan dan produk kosmetik.
Dalam pada itu, beliau memberitahu Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) telah melaksanakan pelbagai inisiatif ke arah menguatkuasakan Akta 795 termasuk mengadakan program pembangunan kapasiti kepada Pihak Berkuasa Negeri.
Tambah beliau, KeTSA akan terus menggiatkan lagi pelbagai inisiatif bagi memperkasa pelaksanaan ABS di Malaysia.
“Susulan penguatkuasaan Akta 795, penyelidik yang ingin mengakses sumber biologi di Malaysia perlu memohon permit kepada Pihak Berkuasa Negeri secara atas talian melalui www.myabs.gov.my.
“Penguatkuasaan ABS perlu diuar-uarkan kepada semua pihak khususnya kerajaan-kerajaan Negeri, institusi penyelidikan dan pengajian tinggi, masyarakat pribumi dan komuniti setempat serta industri bagi memastikan tata caranya difahami dan dipatuhi,” katanya.