20 DIS: Kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung agihan kerusi pilihan raya antara parti itu dan PAS telah disalah tafsir oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menjelaskan, rundingan antara kedua-dua parti kini dilakukan menerusi kerangka BN yang ditunjangi UMNO dan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai PAS.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak berhenti memburuk-burukkan UMNO kerana rundingan yang sebelum ini dilakukan atas dasar parti ke parti kini dibawa ke peringkat tertinggi antara BN dan PN.
“Rundingan pada mulanya di peringkat parti individu masing-masing. Ada empat parti dalam BN dan PN juga mempunyai empat parti macam kita juga dan peringkat seterusnya adalah antara gabungan dengan gabungan. Itulah maksudnya,” katanya.
Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bantuan makanan asas dan pelitup muka kepada penduduk Flat Taman Segar, Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.
Baru-baru ini, Asyraf berkata, pengagihan kerusi tidak lagi berasaskan perbincangan UMNO dengan PAS, tetapi BN dengan PN kerana PAS secara rasmi telah menyertai PN sebagai parti komponennya.
Walau bagaimanapun, pihak tertentu yang kurang memahami maksud kenyataan tersebut mendakwa kononnya UMNO dan PAS yang bekerjasama dalam kerangka Muafakat Nasional tidak lagi mempunyai persefahaman.
Annuar memberitahu, hubungan UMNO dan PAS masih baik dan kepimpinan kedua-dua parti sentiasa bertemu dua minggu sekali untuk berbincang tentang pelbagai perkara termasuk pengagihan kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).