21 DIS : Malaysia hari ini mencatatkan kes harian baharu sebanyak 2,018, sekaligus merupakan kes ketiga tertinggi sepanjang pandemik Covid-19 dan menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 95, 327 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat tujuh kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,011 kes.
“Selangor terus kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,204 kes bersamaan 59.7 peratus. Ini diikuti oleh Johor sebanyak 278 kes bersamaan 13.8 peratus dan Sabah yang melaporkan sebanyak 247 kes bersamaan 12.2 peratus.
“Sebanyak 243 kes bersamaan 12.0 peratus yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen yang membabitkan Kluster Tembok Gajah sebanyakk 234 kes, Kluster Penjara Jalan Harapan sebanyak 6 kes, dan Kluster Tembok sebanyak 3 kes,” ujarnya.
KKM juga memaklumkan pada hari ini bilangan kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 1,084 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 78,393 kes bersamaan 82.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
“Sehingga kini, terdapat 109 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 55 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan satu kes kematian COVID-19 di Hospital Tuaran Sabah, melibatkan seorang lelaki pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 438 kes,” katanya.