21 DIS: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S Saravanan mendedahkan keadaan asrama menempatkan lebih 400 hingga 700 pekerja asing yang bekerja di sebuah kilang sarung tangan getah di Kajang, adalah lebih teruk daripada kandang kerbau.
Saravanan berkata beliau tidak pernah melihat keadaan asrama pekerja asing yang amat daif dan teruk keadaannya seperti yang disaksikan sendiri tadi.
“Saya sebagai menteri amat malu melihat keadaan yang seperti ini. Saya tidak pasti bagaimana mereka boleh hidup dalam keadaan sedemikian.
“Dua kontena yang dijadikan tempat tinggal sepatutnya hanya memuatkan maksimum 100, tetapi saya difahamkan seramai 400 hingga 700 pekerja dimuatkan di asrama berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai pemeriksaan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) ke atas asrama pekerja asing sebuah kilang sarung tangan getah di Jalan Simpang Balak, Batu 13 Jalan Cheras hari ini.
Berikutan itu, syarikat berkenaan diarah menghentikan operasi menerusi notis perintah tutup dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), tujuh hari bermula, 24 Disember ini.
Mengulas lanjut, Saravanan berkata, keadaan asrama berkenaan juga boleh diibaratkan sebagai perhambaan moden kerana keadaan tempat tinggal pekerja yang disediakan syarikat terbabit terlalu daif, kotor, tidak selamat dan jelas mereka tidak menjaga kebajikan pekerja warga asing dengan baik.
“Keadaan asrama pekerja yang saya lihat itu amat jauh berbeza dengan pembangunan negara kita, saya tidak boleh percaya ada tempat seperti ini wujud.
“Ini antara tempat tinggal pekerja yang paling teruk pernah saya lihat. Saya lihat tempat ini lebih teruk daripada kandang kerbau, ini adalah perhambaan moden.
“Syarikat pembuatan sarung tangan getah seperti ini mampu menjana keuntungan sehingga 400 kali ganda tetapi tidak mahu menyediakan tempat tinggal yang baik untuk pekerja,” katanya.
Selain itu, katanya, tindakan tidak bertanggungjawab majikan sedemikian akan menjejaskan imej negara, sekali gus ada pihak yang melabelkan Malaysia sebagai negara yang mengamalkan buruh paksa.
“Ini adalah imej negara, kita dilabelkan sebagai negara yang mengamalkan buruh paksa, banyak tuduhan dilemparkan kepada kita.
“Baru-baru ini kita lihat syarikat Top Glove dilarang menghantar produk mereka ke Amerika Syarikat, dan sekiranya keadaan itu berterusan, kita akan mengalami masalah besar,” katanya.
Justeru katanya, semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memainkan peranan memastikan syarikat pembuatan yang menggunakan khidmat pekerja asing mendirikan asrama atau tempat tinggal di lokasi yang dibenarkan, teratur dan selesa.
“Kita akan berbincang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenai perkara ini kerana ia berada di bawah bidang kuasa PBT.
“Kementerian itu perlu mengarahkan pegawai daerah dan PBT di bawah mereka untuk menangani perkara ini dengan sebaiknya.
“Usaha ini memerlukan kerjasama secara kolektif daripada semua agensi berkaitan, jangan serah isu pekerja asing kepada Kementerian Sumber Manusia sahaja,” tegasnya.
Mengulas lanjut mengenai operasi pemeriksaan hari ini, beliau menjelaskan JTKSM mengambil tindakan mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) ke atas syarikat terbabit.
Katanya, syarikat terbabit boleh dikenakan denda RM5,000 untuk setiap pekerja asing mengikut akta berkenaan.
“Kita akan terus mengadakan operasi pemeriksaan seperti ini dan kita akan pastikan tiada mana-mana tempat yang akan tertinggal.
“Kita beri amaran kepada majikan lain supaya mengambil iktibar dan pastikan mereka jalankan tanggungjawab untuk menyediakan tempat tinggal atau asrama yang baik untuk pekerja masing-masing atau bersedia untuk diambil tindakan,” katanya.
Katanya, syarikat yang dikenakan tindakan akan disenaraihitamkan oleh JTKSM daripada dibenarkan menggunakan khidmat pekerja asing pada masa hadapan.