21 DIS: Timbalan Pengerusi MCA Melaka, Datuk Koh Nai Kwong dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sarawak, Jaziri Alkaf Abdillah Suffian mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara, hari ini.
Dua Ahli Dewan Negara itu mengangkat sumpah jawatan tersebut di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim di bangunan Parlimen.
Nai Kwong, 59 merupakan pilihan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dan Jaziri Alkaf, 42 pula adalah lantikan daripada Yang di-Pertuan Agong.
Dalam pada itu, Rais dalam ucapannya mahukan Koh dan Jaziri menterjemahkan pengalaman serta profesionalisme masing-masing bukan sahaja ketika sesi persidangan malah meliputi semua aspek bersesuaian dengan kedudukan Dewan Negara selaku badan legislatif tertinggi negara.
“Kepada Ahli-ahli Yang Berhormat, tanggungjawab sebagai Ahli Senat mesti dilunaskan sebaik mungkin.
“Jalur pemikiran hendaklah diketengahkan secara tuntas, berwibawa serta intelektual mewakili semua suara kelompok rakyat sama ada negeri, kumpulan minoriti termasuk Orang Asli mahupun badan bukan kerajaan (NGO) tanpa ada yang tercicir,” katanya.
Dalam pada itu, Rais memberitahu peranan Jawatankuasa Bersama Kesejahteraan Rakyat yang ditubuhkan pada 10 Disember lalu adalah sebagai peringatan kepada para senator bagi menjalankan tugas mengatasi kepentingan parti.
Justeru itu, beliau mengalu-alukan semua ahli jawatankuasa yang terdiri daripada Ahli Parlimendan Ahli Dewan Negara untuk menjadikan jawatankuasa itu sebagai platform membincangkan pelbagai isu mengenai kepentingan rakyat.
“Jawatankuasa menjadi medan penggemblengan idea, tenaga dan kepakaran bagi memastikan kebajikan rakyat yang hubung kaitnya menyentuh soal kepentingan negara dapat dilunaskan.
“Besarlah harapan agar isu-isu berkepentingan rakyat disambut oleh semua Ahli Yang Berhormat, bukan sahaja dalam sesi perbahasan di dewan, tetapi juga disalurkan sama melalui jawatankuasa ini kelak,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH