21 DIS: Cadangan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) perlu diteruskan bagi menyiasat kontroversi berhubung dakwaan penyelewengan dalam Lembaga Tabung Haji (TH) yang dibangkitkan pelbagai pihak selama ini.
Ahli Dewan Negara, Senator Sabani Mat berkata, beliau yakin siasatan oleh RCI akan dapat dinilai dengan satu siasatan menyeluruh dilakukan dengan sebaik mungkin bagi menyiasat apa yang sebenarnya berlaku terhadap pentadbiran institusi berkenaan.
Menurut beliau, penyelesaian polemik tersebut perlu untuk membawa TH kembali kepada matlamat asal tanpa penglibatan pihak yang tidak berkeupayaan.
“Walaupun saranan demi saranan, gesaan demi gesaan dari pelbagai pihak tentang penubuhan RCI TH ini namun sampai ke saat ini belum menjadi kenyataan. Dirasakan dengan penubuhan RCI, insya-Allah akan dapat menyelesaikan pelbagai isu yang akan dikaitkan dengan TH.
“Dalam yang paling penting untuk pastikan tadbir urus TH menepati kepentingan sebagai institusi milik umat Islam di negara ini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat dasar dalam sidang Dewan Negara, hari ini.
Dalam pada itu, Sabani turut mencadangkan agar kerajaan melaksanakan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dilihat mampu menambah sumber pendapatan kepada negara yang dapat digunakan bagi pembangunan dan kebajikan rakyat.
“Pelaksanaan awal GST pada tanggal April 2015 didapati pendapatan kerajaan hasil kutipan GST berjumlah RM27 bilion yang ianya daapt mengimbangkan pendapatan pekerjaan berikutan kejatuhan harga minyak ketika itu. Pada 2018, RM44 bilion telah diterima.
“Berdasarkan ini saya yakin sekiranya Pakatan Harapan (PH) tidak membatalkan GST sudah pasti ia akan menjadi penyelamat pada situasi sekarang,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH