22 DIS : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesan sebanyak 2,062 kes harian baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif jangkitan Covid-19 meningkat sebanyak 97,389 kes.
Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 17,646 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat empat kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,058 kes.
“Negeri Selangor terus kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,014 kes bersamaan 49.2 peratus).
“Ini diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 504 kes bersamaan 24.4 peratus dan Sabah sebanyak 252 kes bersamaan 12.2 peratus,”ujarnya menerusi kenyataan media hari ini.
Katanya lagi, sebanyak 120 kes pula berkaitan kluster-kluster penjara dan depot tahanan imigresen membabitkan Kluster Tembok Gajah sebanyak 88 kes, Kluster Penjara Jalan Harapan sebanyak 24 kes, Kluster Penjara Sandakan sebanyak 3 kes, Kluster Penjara Seberang Perai sebanyak 3 kes dan Kluster Tembok sebanyak 2 kes.
“Bilangan kes sembuh COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 911 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 79,304 kes bersamaan 81.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
“Sehingga kini, terdapat 111 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 51 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan satu kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 439 kes bersamaan 0.45 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” ujarnya.