22 DIS: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang meneroka potensi gelembung perjalanan antarabangsa dengan negara-negara zon hijau semasa penularan pandemik COVID-19.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, setakat ini kerajaan hanya bersetuju bagi membenarkan gelembung perjalanan domestik bagi negeri zon hijau di seluruh negara bermula 22 November lalu bagi merancakkan aktiviti dan sektor pelancongan domestik.
“Cadangan ini akan diperhalusi oleh kementerian dan agensi lain seperti Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar dan Kementerian Pengangkutan. Ini bagi dipertimbangkan untuk dilaksanakan bila tiba waktu bersesuaian dilaksanakan kelak.
“Kementerian telah memperkenalkan pelbagai insentif bagi kembali merancakkan pelancongan dalam negara dan antara insentif dan promosi pelancongan dalam bentuk baucar, rebat e-baucar dan cash back dalam e-wallet serta potongan harga untuk tempahan pakej pelancongan, penginapan dan penerbangan,” katanya ketika mengulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Negara, hari ini.
Terdahulu, Ahli Dewan Negara, Senator Alan Ling Sie Kiong dalam perbahasannya mencadangkan agar kerajaan diadakan gelembung perjalanan antarabangsa antara negara jiran bagi membolehkan pelancong asing datang ke Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, Nancy memberitahu kementerian telah merangka pelan pemulihan pelancongan yang merupakan strategi dan fokus utama dalam menyemarakan pelancongan domestik seperti mana aktiviti pelancongan telah pun dibenarkan beroperasi semula walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Dalam masa sama kita mahu membudayakan pematuhan SOP yang telah ditetapkan dan antara program yang telah dan akan dilaksanakan adalah siri jelajah semarak pelancongan domestik melibatkan pendedahan kepada produk baharu pelancongan serta produk seni budaya serta warisan negara.
“Siri ini juga digunakan untuk memberi pendedahan dan memastikan pengiat industri memahami SOP yang telah ditetapkan MKN dan ini penting untuk dipatuhi kerana menjadi salah satu faktor utama membina keyakinan masyarakat, Malaysia merupakan destinasi selamat dikunjungi di samping meninjau mana-mana kemudahan pelancongan yang perlu dibaik pulih,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH