22 DIS: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak berhasrat untuk memendekkan tempoh penahanan, hukuman atau penjara bagi membebaskan banduan dengan jenayah kecil bagi mengurangkan kesesakan penjara dan mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.
Walau bagaimanapun, Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata Jabatan Penjara masih membenarkan permohonan pembebasan secara pengampunan diteruskan di seluruh negara dalam tempoh ini.
“Bagi makluman Yang Berhormat, kerajaan secara dasarnya tidak ada hasrat untuk memendekkan hukuman, tempoh penahanan atau penjara seseorang ketika COVID-19.
“Walau bagaimanapun, banduan yang layak pelepasan secara perintah parol, pelepasan secara lesen dan pembebasan melalui pengampunan melalui kerajaan-kerajaan negeri oleh lembaga pengampunan negeri-negeri tidak dihalang dan masih boleh diberikan dalam tempoh COVID-19,”katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negara, hari ini.
Ismail menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Senator Lim Hui Ying tentang jika kementerian berhasrat untuk membebaskan banduan dengan jenayah kecil bagi menangani kesesakan di dalam penjara dan mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.
Dalam pada itu, menjawab soalan Hui Ying tentang langkah-langkah yang telah diambil dan perancangan seterusnya berhubung sistem penjara susulan daripada jangkitan wabak COVID-19 dalam kalangan banduan dan staf penjara, Ismail memberitahu pihaknya sentiasa melaksanakan langkah tersebut seperti yang telah ditetapkan selaras keputusan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara.
Namun, beliau tidak menafikan terdapat pencegahan dan kawalan penyakit tidak mampu menghalang dari berlakunya penularan seperti kekangan untuk mengasingkan banduan baharu dan kesukaran mengenal pasti banduan yang dijangkiti COVID-19 yang tidak bergejala.
“Oleh itu, Jabatan Penjara telah mengambil langkah menempatkan sabitan dan reman kategori risiko keselamatan minima di beberapa kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang diwartakan sebagai penjara di bawah Seksyen 3 Akta Penjara 1995 dan berfungsi sebagai penjara satelit. Jabatan penjara juga turut mewujudkan pusat-pusat transit di penjara untuk penempatan banduan baharu yang dimasukan dengan mengambil kira keperluan pengasingan berdasarkan tarikh-tarikh kemasukan.
“Selaras dengan hala tuju Jabatan Penjara Malaysia, 2/3 daripada banduan sabitan yang layak akan menjalani pemulihan di luar penjara. Langkah-langkah megurangkan kesesakan melalui pelaksanaan dan pengembangan sistem parol, perintah kehadiran wajin, program intgrasi penghuni industri, program corporate smart internship dan bandyan secara lesen dilaksanakan secara berterusan.
“Jabatan Penjara juga mempunyai dua Prosedur Operasi Standard (SOP) iaitu SOP ketika penerimaan banduan semasa COVID-19 dan SOP pengiringan banduan ketika COVID-19,”katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH