22 DIS: Kajian yang dijalankan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) sepanjang Ogos hingga bulan ini mendapati kadar pematuhan orang ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP) norma baharu adalah tinggi.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya sebilangan kecil sahaja yang tidak mematuhi SOP.
Menurut beliau, sebanyak 96.7 peratus rakyat memakai pelitup muka diikuti 90 peratus mengamalkan penjarakan fizikal manakala 88.7 peratus mencuci tangan menggunakan sabun.
“Hasil kajian juga menunjukkan 89.2 peratus rakyat Malaysia mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap kempen pembudayaan norma baharu.
“Lebih menarik 77.5 peratus rakyat Malaysia merasakan peranan masyarakat dalam menangani penularan COVID-19 adalah sangat penting,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 122 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan SOP dan kesemyanya telah dikompaun.
“Antara kesalahan ingkar SOP termasuk tidak memakai pelitup muka (52), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (39), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (29) dan lain-lain (2),” jelasnya.
Beliau menambah, pemeriksaan melibatkan sebanyak 3,183 pasar raya, 4,160 restoran, 1,123 kilang, 1,377 pasar awam/tani, 2,747 tempat ibadah serta 1,110 tempat riadah.
Berhubung Op Benteng, Ismail Sabri berkata, seramai 63 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan empat kenderaan darat dirampas oleh pasukan keselamatan di seluruh negara, semalam.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, sehingga hari ini, sebanyak 274 kertas siasatan telah dibuka oleh PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung berita palsu berkaitan COVID-19.
“Daripada jumlah ini, sebanyak 137 kes masih dalam siasatan, 35 kes telah didakwa di mahkamah, 12 kes diberi notis amaran manakala 90 kes lagi diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut.
“Bagi kes yang telah didakwa di mahkamah, sehingga kini 21 telah didapati bersalah manakala 13 lagi dalam proses perbicaraan,” katanya.
Menurut Ismail Sabri, Pasukan Respon Pantas (PRP) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga telah mengeluarkan sebanyak 415 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu berkaitan COVID-19. – Oleh HUSSAINI AMRAN