22 DIS: Hukuman penjara maksimum sehingga 15 tahun dan denda sehingga RM10 juta, bakal menanti penjenayah alam sekitar selepas Akta Kualiti Alam Sekitar 197 (AKAS) dan Akta Industri Perkhidmatan Bekalan Air 2006 (Akta 655) dipinda tidak lama lagi.
Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad, berkata itu adalah sebahagian daripada tindakan tegas bakal diambil Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) terhadap mana-mana pihak yang mencemarkan alam sekitar dan sumber air, pada masa depan.
“Pindaaan AKAS dan Akta 655 ini antara lain meliputi cadangan meningkatkan tempoh hukuman penjara dari setahun kepada 15 tahun dan denda minimum RM5 juta serta maksimum RM10 juta.
“Langkah ini adalah salah satu komitment kerajaan menerusi KASA secara langsung bagi membolehkan penjenayah alam sekitar dikenakan tindakan sekeras-kerasnya,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Negara, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Masrizal berkata, KASA juga akan menggunakan pendekatan punitif dan proaktif termasuk dengan menubuhkan Unit Cegah Jenayah Alam Sekitar yang sudah memulakan operasi secara pentadbiran mulai 1 Oktober lalu.
Beliau berkata penubuhan unit baharu berkenaan akan membabitkan penempatan semula pegawai dari Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Biokeselamatan, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membolehkan aspek siasatan, risikan, forensik dan jenayah alam sekitar dapat dilaksanakan secara tuntas.
Dalam pada itu, Ahmad Masrizal berkata KASA bersedia untuk menjadi pemudahcara (orang tengah) bagi menyelesaikan isu menyelesaikan isu berkaitan sumber air mentah dari Kuala Muda antara Kedah dan Pulau Pinang kerana ia membabitkan kepentingan rakyat kedua-dua negeri berkenaan.
Beliau berkata, sebenarnya lebih 4,096 kilometer (km) persegi atau 98 peratus lembangan Sungai Muda adalah terletak di negeri Kedah dan hanya 55 km atau 1.32 peratus sahaja berada di Pulau Pinang iaitu kawasan hulu Sungai Muda bermula di negeri Kedah, manakala hilirnya di Pulau Pinang. – Oleh HAIKA KHAZI