23 DIS : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini merekodkan kes harian baharu jangkitan Covid-19 sebanyak 1,348 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negara ini sebanyak 98,737 kes di mana jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula meningkat sebanyak 18,279 kes.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah kes baharu itu, terdapat 16 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,332 kes.
“Negeri Selangor terus kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi untuk lapan hari berturut-turut iaitu sebanyak 535 kes. Daripada jumlah ini, sebanyak 363 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontrak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.
“Ini diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 226 kes dan Sabah sebanyak 189 kes. Sebanyak 193 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, penjara dan depot tahanan imigresen.
“Kes-kes tersebut membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan sebanyak 123 kes, Kluster Tembok Gajah sebanyak 56 kes, Kluster Kolam Air sebanyak 8 kes, Kluster Tembok sebanyak 5 kes, dan Kluster Hala Mutiara sebanyak 1 kes,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 hari ini.
Beliau turut memaklumkan, terdapat lima kes kematian COVID-19 pada hari ini melibatkan 2 di Selangor, 1 di Sabah, 1 di Kuala Lumpur dan 1 di Negeri Sembilan, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 444 kes.
“Sehingga kini, terdapat 102 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 44 kes memerlukan bantuan pernafasan. Bilangan kes sembuh COVID-19 hari ini adalah sebanyak 710 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 80,014 kes,” ujarnya.