23 DIS: Syarikat farmaseutikal United Kingdom (UK), AstraZeneca tidak mengaut sebarang keuntungan dalam jualan 6.4 juta dos vaksin kepada Malaysia.
Presiden Negara AstraZeneca Malaysia, Dr Sanjeev Panchal, ketika mengesahkan perkara itu berkata, vaksin ‘AZD1222’ yang akan menampung bekalan sebanyak 10 peratus daripada keseluruhan rakyat di negara ini dijangka dibekalkan menjelang separuh pertama tahun depan.
“Sebanyak 6.4 juta dos vaksin AZD1222 daripada AstraZeneca/University of Oxford dijual tanpa sebarang keuntungan, ketika tempoh pandemik.
“Apabila kerajaan, sektor swasta dan akademik saling bekerjasama, banyak kejayaan berupaya dilakar demi melindungi nyawa rakyat serta mewujudkan Malaysia yang lebih sihat,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan bahawa kerajaan memeterai perjanjian dengan AstraZeneca bagi memperoleh 6.4 juta dos vaksin COVID-19 atau tambahan sebanyak 10 peratus.
Pertambahan itu sekali gus menjadikan bekalan vaksin yang bakal diperoleh ketika ini ialah 40 peratus daripada keseluruhan penduduk di negara ini, bersandarkan bekalan firma farmaseutikal Pfizer, AstraZeneca dan Pelan peruntukan vaksin COVID-19 global, COVAX.
Berikutan perjanjian kedua perolehan vaksin itu, Sanjeev berkata AstraZeneca akan memperluaskan kapasiti pengeluaran global syarikat berkenaan bagi menjamin aspek bekalan AZD1222 untuk Malaysia.
“Ini selari dengan kemajuan fasa percubaan klinikal di Amerika Syarikat (AS), UK, Brazil, Afrika Selatan, Jepun dan Rusia.
“Keputusan analisis interim program fasa ketiga kendalian University of Oxford menunjukkan vaksin ini selamat dan berkesan dalam menangani gejala COVID-19, selain berupaya mengekang risiko kesihatan serta dimasukkan ke hospital,” katanya.
Dalam pada itu, Sanjeev berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk mendapatkan kelulusan kawal selia vaksin, berteraskan fakta sains.