23 DIS: Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang bersidang pada 3 Disember lalu memutuskan bahawa pengunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan wajib bagi golongan yang telah ditetapkan kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zukifli berkata, penggunaan vaksin bagi melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit berbahaya bukanlah satu perkara asing dalam syarak.
“Justeru, saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia, terutamanya umat Islam agar patuh dan memberi kepercayaan penuh kepada pihak kerajaan dalam menangani penularan pandemik COVID-19 menerusi penggunaan vaksin.
“Perkara ini dibuktikan dengan kaedah pencegahan melalui vaksinisasi yang dapat dilihat dalam enam keputusan yang mengharuskan penggunaannya oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia daripada tahun 1988 hingga 2013,” ujarnya dalam satu satu kenyataan hari ini.
Dr Zulkifli berkata enam perkara berkenaan membabitkan Pelalian Rubela (Imunisasi Rubela) (tahun 1988); Imunisasi Hepatatis B (tahun 1988); Imunisasi Campak, Tibi, Batuk Kokol, Dipteria, Tetanus Dan Polio (tahun 1989); Pelalian Vaksin Meningococcal Meningitis (tahun 2002 dan dipinda keputusannya pada 2014); Vaksin Human Papilloma Virus (HPV) (tahun 2010) dan Vaksin Meningitis Menveo (tahun 2013).
Malah, di peringkat antarabangsa, institusi fatwa dunia memfatwakan penggunaan vaksin sebagai harus, kata Dr Zulkifli lagi.
“Antaranya adalah institusi terkemuka al-Azhar al-Sharif menerusi Hai’ah Kibar ‘Ulama al-Azhar dan Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah yang dipengerusikan Syeikh al-Azhar Syeikh Dr Ahmad al-Tayyib.
“Begitu juga dengan Majlis Fatwa Kerajaan Emiriah Arab Bersatu yang dipengerusikan oleh Syeikh Abdullah Ben Bayyah dan Majma’ Fuqaha’ al-Shari’ah, Amerika yang dianggotai oleh Syeikh Dr Muhammad al Zuhaily.
“Hal ini saya akan perjelaskan lagi dalam Majalah al-Bayan siri ke-7 terbitan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sedikit masa lagi,” katanya.
Zulkifli seterusnya menegaskan, dalam isu pengambilan vaksin COVID-19 ini, ia merupakan satu ketetapan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.
“Pihak kerajaan dituntut memutuskan sesuatu keputusan yang paling mendatangkan maslahah kepada keseluruhan rakyat, setelah menimbang faktor yang pelbagai serta setelah mendapatkan pandangan daripada pihak yang berkepakaran dan juga berautoriti,” katanya.