23 DIS: Kerajaan bersedia mendedahkan semua maklumat terperinci mengenai kos perolehan vaksin COVID-19 dibeli daripada syarikat farmaseutikal antarabangsa yang akan diagihkan secara percuma kepada 82.8 peratus atau 26.5 juta rakyat Malaysia kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) jika perlu.
Berikutan itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menawarkan diri untuk memberikan taklimat terperinci mengenai kos sebenar pembelian vaksin berkenaan kepada PAC dengan syarat mereka berjanji untuk menjamin kerahsiaannya.
Beliau berkata, kerajaan tidak boleh mendedahkan harga sebenar vaksin COVID-19 dibeli daripada syarikat farmaseutikal antarabangsa kerana terikat dengan kerahsiaan perjanjian jual beli ditandatangani antar kedua-dua belah pihak.
“Kalau nak ikutkan saya memang mahu mendedahkan kos sebenar ditanggung kerajaan untuk membeli setiap dos vaksin berkenaan, namun kita tidak dapat berbuat demikian kerana terikat kepada perjanjian kerahsiaan dibuat dengan syarikat farmaseutikal.
“Justeru, saya sedia memberi taklimat dan mendedahkan maklumat terperinci mengenai butiran penjanjian pembelian vaksin kepada PAC, yang dipengerusikan Ahli Parlimen DAP dan dianggotai oleh Ahli Parlimen penyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan pembangkang bagi menunjukkan ketelusan dalam mendapat perolehan berkenaan.
“Saya harap saya dapat (mendedahkan nilai kos pembelian vaksin). Tetapi kita harus hormati kerahsiaan perjanjian yang kita tandatangani dengan pengeluar vaksin. Berharap dapat berikan penerangan kepada PAC, jika mereka setuju tidak dedahkan.
“Bukan sahaja Malaysia yang menandatangani syarat kerahsiaan berikut. Kesemua negara-negara yang membuat rundingan kos pembelian vaksin juga terikat dengan perjanjian itu,” katanya pada sidang media khasnya di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Putrajaya, sebentar tadi.
Bagaimanapun, Khairy menjelaskan, kerajaan menandatangani penjanjian pembelian semua vaksin berkenaan pada harga yang munasabah dan bersesuaian.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal, AstraZeneca, bagi memperoleh 6.4 juta dos vaksin COVID-19 yang akan meliputi 3.2 juta orang atau 10 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia iaitu tambahan 10 peratus lagi kepada bekalan vaksin yang bakal diterima negara.
Ini bermakna kerajaan kini memperoleh keseluruhan jaminan bekalan sebanyak 40 peratus, termasuk menerusi dua perjanjian yang dimeterai sebelum ini dengan COVAX dan Pfizer.
Menerusi perjanjian yang ditandatangani dengan COVAX dan Pfizer, Malaysia dijadualkan menerima bekalan yang meliputi 30 peratus rakyat.
Dalam pada itu, Khairy menafikan dakwaan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman kononnya ada pihak tertentu meraih komisen RM500 juta menerusi pembelian vaksin COVID-19 bernilai RM5 bilion.
“Sekali lagi, kenyataan dibuat tanpa bukti oleh Ahli Parlimen Pasir Salak. Jika ada bukti, sila serahkan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Perjanjian Pfizer dan AstraZeneca dibuat secara terus dengan pihak pengeluar,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan dibuat Tajuddin di Dewan Rakyat, baru-baru ini. – Oleh HAIKA KHAZI