23 DIS : Polis menangguhkan sesi soal siasat bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang telah ditetap esok, sehari sebelum perayaan Krismas sehingga tahun depan.
Guan Eng yang juga merupakan Setiausaha Agung Dap berkata, perkara tersebut dimaklumkan kepada beliau oleh peguamnya Gobind Singh Deo hari ini.
“Gobind memaklumkan kepada saya bahawa polis bertindak membatalkan proses soal siasatan itu yang di atur di Ibu Pejabat Daerah Timur Laut, Pulau Pinang berhubung dua kenyataan medianya pada 2019.
“Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador juga secara ramah menerusi kiriman teks mesej, memohon maaf kepada saya, atas kesilapan pegawainya menetapkan soal siasatan saya pada sehari sebelum Krismas. Saya berterima kasih padanya atas ucapan Krismas buat saya dan keluarga,” ujarnya.
Semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi hantarannya di facebook meminta polis menggunakan pertimbangan wajar dan tidak memanggil Setiausaha Agung Dap itu untuk disoal siasat sehari sebelum sambutan Krismas.
“Ini tak patut. Buat lah minggu pertama tahun depan. Jangan bagi modal kepada mereka untuk hasut Rakyat,” kata Najib semalam.
Bagaimanapun, keputusan Hamid menangguhkan siasatan terhadap Lim Guan Eng telah menarik pelbagai reaksi netizen di media sosial, apabila mereka membandingkan situasi Guan Eng dengan situasi yang dihadapi Najib, yang berdepan serbuan pihak polis pada malam pertama puasa.