23 DIS: Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia 25 tahun yang juga merupakan seorang anggota polis trafik kerana memandu secara berbahaya di bawah pengaruh alkohol malam tadi.
Menurut beliau, pihaknya bertindak menahan lelaki tersebut setelah menerima satu video rakaman berkenaan sebuah kereta yang dipandu menyongsang arus di Jalan Lingkaran Dalam kira-kira jam 12.30 malam tadi.
“Atas makluman sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor Bahru Selatan berjaya menahan lelaki berusia 25 tahun.
“Lelaki tersebut yang juga anggota polis trafik di Johor Bahru Selatan ditahan di Stesen minyak Lingkaran Dalam kerana memandu secara melawan arus dan disyaki di bawah pengaruh alkohol.
“Hasil siasatan mendapati anggota polis ini tidak bertugas semasa kejadian dan menggunakan kenderaan persendirian,” jelasnya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Sehubungan itu menurut Ayob Khan, suspek disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis Johor tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan paling tegas kepada mana-mana pihak termasuk pegawai dan anggota polis yang melanggar undang-undang,”tegasnya.
Terdahulu, video berdurasi satu minit 36 saat tular di media sosial melihatkan sebuah kereta Perodua Axia berwarna perak dipandu secara melawan arus.
Kenderaan itu dipandu di lorong laju dan sederhana dengan lampu kecemasan dibuka selain turut berhenti di tengah jalan sebelum membuat pusingan U.