6 kluster tamat, 4 kluster baharu dikesan hari ini
24 DIS : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan, 6 kluster iaitu Kluster Kasir, Kluster Tomher MC, Kluster Utama, Kluster Rengas, Kluster Mampulut dan Kluster Haven telah ditamatkan, manakala 4 lagi kluster tempat kerja baharu yang melibatkan negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dikesan hari ini.
Pengarah Kesihatan,Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dua kluster baharu yang dikesan di Selangor ialah Kluster Kebun Baru melibatkan daerah Kuala Langat dan Kluster Sungai Burong melibatkan daerah Kuala Selangor.
“Manakala Kluster Tapak Bina Jalan Tun pula melibatkan daerah Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Kluster Jalan Pandan pula melibatkan daerah Lembah Pantai, Cheras, Kepong dan Titiwangsa. Kluster ini juga turut dikesan di daerah Gombak, Petaling, Kuala Selangor dan juga Hulu Langat di Selangor,” ujarnya.
Sementara itu, KKM juga menasihati orang ramai bersempena perayaan Krismas pada 25 Dis ini supaya tidak lalai mengamalkan SOP dalam sambutan perayaan tersebut esok.
Kata Noor Hisham, berikutan situasi peningkatan kes COVID-19 dalam negara yang telah mencapai jumlah kumulatif sebanyak 100,318 kes, masyarakat dinasihatkan untuk lebih berwaspada dan berhati-hati dalam mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19.
“KKM ingin mengucapkan Selamat Hari Natal kepada warga Malaysia yang akan menyambut perayaan ini dan kali ini sudah pasti Hari Natal akan disambut dengan norma baharu berbanding tahun-tahun yang lalu.
“Sehubungan itu, KKM ingin mengingatkan rakyat Malaysia agar sentiasa patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan.
“Rakyat Malaysia diingatkan untuk mengurangkan risiko jangkitan di antara ahli keluarga dan rakan-rakan dengan mengamalkan norma baharu seperti elakkan sembang dari jarak dekat dan menggunakan pelitup muka.
“Elakkan daripada berkumpul dalam jangka masa yang lama kerana ianya akan meningkatkan risiko penularan jangkitan COVID-19. Selain itu, hendaklah sentiasa amalkan kebersihan kendiri dengan kerap mencuci tangan dan juga menjaga kebersihan persekitaran,”ujarnya.