24 DIS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan membangunkan sistem penuaian hasil tanaman berkualiti yang boleh dimanfaatkan oleh golongan belia tempatan bagi menggantikan tenaga pekerja asing di ladang.
Menterinya, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, hasil cadangan itu, pihaknya akan mengaplikasi pelbagai teknologi bagi penggunaan pertanian yang bukan sahaja dapat meningkatkan hasil kualiti malah mampu menarik belia untuk menceburi dan menjadi peserta bersama FELCRA Berhad.
“Satu pemikiran banyak di kalangan orang muda dia berpendapat, antara perkara kerja di ladang ini bahaya dan kotor. Ekoran itu, kita kena guna teknologi bagaimana pengangkutan hendak kita laksanakan walaupun logisitk ada di samping kena pastikan kualiti dan perahan itu dapat dipertingkatkan.
“Saya dapat makluman kalau boleh FELCRA ini, dia nak tingkatkan perahan (kadar perahan minyak) kepada 21 peratus ke atas. Walaupun hasil sikit tetapi kualiti perahan itu tinggi,” katanya dalam sidang media selepas Masjlis Penyerahan Interim Keuntungan Boleh Agih 2/2020 dan penyampaian bantuan sara hidup B40 di Wisma FELCRA, Kuala Lumpur, hari ini.
Pada majlis itu, FELCRA mengumumkan pengagihan keuntungan interim 2/2020 berjumlah RM49. 57 juta kepada 54,351 pesertanya di seluruh negara bermula 28 Disember depan.
Beliau menambah, selain pengagihan keuntungan dan bantuan sara hidup B40, pihaknya sedang melaksanakan kajian teliti bagi mencari penyelesaian menggantikan tanaman sawit yang tidak produktif di samping melaksanakan kerjasama dengan pemegang taruh.
Menurut beliau, FELCRA juga tidak boleh bergantung semata-mata kepada hasil dan harga minyak sawit mentah semata-mata tetapi perlu turun padang melihat cara bagi meningkatkan kualiti sawit dan perahan minyak di samping mampu mendengar permasalahan yang dihadapi oleh para peserta.
“Kita FELCRA ada kilang buah, bila dah jadi harga minyak sawit mentah (CPO) di mana CPO kita jual bagus tetapi ada nilai tambahan yang berlipat ganda jika terlibat dengan penapisan sama juga dengan harga getah. Harga sarung tangan naik tapi penoreh getah dan pekebun macam itu juga.
“Jadi, kita kena tambah nilai pada rantaian bekalan umpamanya jika terlibat dalam refiniry kata buat mentega atau produk-produk dari minyak. Banyak produk-produk seperti kosmetik dan FELCRA boleh terlibat sekali dengan ini bagi meningkatkan pendapatan peringkat hiliran akan lebih berlipat ganda,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH