24 DIS: Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) membantah pendaftaran parti baharu oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menggunakan nama Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda).
Bantahan itu disuarakan melalui surat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan bertarikh 18 Disember 2020 yang ditandatangani Setiausaha Agung Ikatan, Tengku Ahmad Mudzaffar Tengku Zaid.
Beliau berkata, penggunaan istilah ‘Ikatan’ pada nama penuh parti Muda tersebut adalah mengelirukan kerana menyerupai nama partinya.
“Ikatan adalah parti politik yang berdaftar dengan ROS semenjak tahun 2015 dan kami mempunyai hak menggunakan nama ‘Ikatan’ untuk parti kami.
“Jika kelulusan diberikan terhadap Muda, ia akan mengelirukan dan sukar untuk masyarakat mengenali yang mana satu parti Ikatan walaupun entiti kedua-dua parti berbeza dari segi perlembagaan dan perjuangan,” jelasnya.
Salinan tersebut turut dikongsikan oleh Ketua Pemuda Ikatan, Shahir Adnan dalam laman Facebook miliknya.
Shahir turut menasihatkan Syed Saddiq agar mencari nama lain untuk parti baharunya.
“Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, carilah nama yang lain bro.
“Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) tidak sama dengan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda),” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN