24 DIS: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Telipok Ria, Tuaran, Sabah yang bermula pada 27 November lalu berakhir hari ini seperti yang dijadualkan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga 22 Disember lalu, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan 9,065 ujian saringan dan secara kumulatif sebanyak 806 kes positif COVID-19 telah direkodkan.
“Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan mengesahkan baki kes aktif di lokaliti ini semakin terkawal dan menunjukkan trend penurunan.
“Atas nasihat Kementerian Kesihatan, sidang khas semalam bersetuju untuk menamatkan PKPD di Taman Telipok Ria, Tuaran, Sabah pada hari ini seperti yang dijadualkan,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.
Berhubung tindakan penguatkuasaan, beliau memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 169 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP) dan kesemuanya telah dikompaun.
“Antara kesalahan ingkar SOP termasuk gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (81), tidak memakai pelitup muka (35), aktiviti pusat hiburan (31), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (13) dan lain-lain (9),” jelasnya.
Ismail Sabri menambah, pasukan keselamatan juga berjaya menahan seramai 49 pendatang asing tanpa izin dan merampas tujuh kenderaan darat dalam Op Benteng di seluruh negara semalam. – Oleh HUSSAINI AMRAN