24 DIS : Polis menasihati orang ramai agar tidak leka bahawa usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian Covid-19 masih belum selesai dan menyarankan agar terus duduk dirumah walaupun rentas negeri telah dibenarkan.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, orang ramai jangan leka dalam menyambut hari perayaaan esok, bahawa perjuangan melawan Covid-19 masih belum selesai.
“Saya menasihatkan orang ramai tidak leka bahawa perjuangan menentang pandemik COVID-19 masih belum lagi berakhir dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih dilaksanakan.
“Saya juga menyarankan orang ramai duduk di rumah dan tidak keluar rumah sekiranya tiada sebarang urusan rasmi walaupun rentas negeri dan daerah dibenarkan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ekoran aliran trafik di semua arah di utara, selatan dan timur mulai tengah malam ini dan esok, dijangka akan meningkat sempena cuti sambutan Hari Krismas.
Polis menganggarkan peningkatan aliran trafik sekitar 30 hingga 40 peratus berbanding aliran trafik pada hari-hari biasa.
Bagaimanapun setakat ini, aliran trafik masih terkawal kerana dipercayai keghairahan orang ramai untuk pulang ke kampung tidak begitu ketara seperti musim perayaan sebelum ini.
“Ada setengah keluarga sudah berada atau pulang ke kampung halaman lebih awal memandangkan sekolah-sekolah memang sudah diberi cuti lebih awal sehingga ke awal tahun 2021.