24 DIS: Tan Sri Muhyiddin Yasin berpuas hati dengan prestasi Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) yang mencapai pulangan bersih selepas zakat sebanyak 5 peratus setahun pada tahun ini walaupun dalam keadaan pasaran yang mencabar.
Perdana Menteri berkata, sejak dilancarkan pada akhir 2010, AHB telah mengagihkan dividen terkumpul sejumlah RM1.41 bilion kepada 75,000 pelabur runcit bumiputera dan 14 institusi bumiputera.
Beliau turut berkongsi kegembiraan apabila dimaklumkan bahawa sejumlah RM31.4 juta telah diperuntukkan tahun ini bagi melaksanakan ‘Rents Relief Program’, bertujuan untuk membantu penyewa-penyewa di bangunan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sehingga kini PHB memiliki 23 buah bangunan di lokasi yang strategik, terdiri daripada bangunan pejabat, pusat beli-belah, gudang logistik dan hospital swasta bagi pihak pelabur bumiputera daripada semua lapisan masyarakat.
“Saya amat yakin pihak Lembaga Pengarah dan Pengurusan PHB akan terus fokus dalam mendukung amanah serta mandatnya untuk terus meningkatkan keupayaan dan kekayaan ekonomi bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial di Malaysia, selain meneruskan kemudahan penyertaan bumiputera dalam pelaburan hartanah menerusi pulangan yang stabil dan berdaya saing. Insya-Allah,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Muhyiddin mengulas tentang mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera (YAHB) yang dipengerusikan secara dalam talian.
Mesyuarat yang pertama diadakan sejak beliau dilantik sebagai Pengerusi YAHB pada 16 Oktober lalu itu diadakan bagi membincangkan mengenai prestasi keseluruhan unit AHB, mekanisme pengagihan kekayaan dan PHB, iaitu entiti operasi YAHB.
Turut serta dalam mesyuarat itu ialah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta pemegang amanah YAHB yang lain iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengerusi PHB, Tan Sri Md Nor Yusof; Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mahmud Fauzi Muda dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Mohd Fadzil Maruwan.
Dalam mesyuarat itu, beliau dimaklumkan mengenai prestasi tahunan YAHB di mana objektif utama penubuhannya adalah bagi memacu tindakan afirmatif dalam agenda memperkasakan ekonomi dan merangsangkan pemilikan bumiputera dalam hartanah komersial di Malaysia. – Oleh HUSSAINI AMRAN