25 DIS : Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan terhadap empat suspek kes samun di Rawang yang cuba melarikan diri menggunakan sebuah kereta mengakibatkan keempat-empat suspek maut dalam satu kejadian di Sungai Buloh tengahari tadi.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kesemua suspek yang maut berusia dalam lingkungan 20-an itu dipercayai terbabit dalam satu kes samun di sebuah rumah di Taman Pelangi Rawang sebelum kejadian itu.
“Hasil pemantauan dan rondaan, polis yang menerima laporan kejadian samun di Taman Pelangi Rawang dan kemudiannya berjaya mengesan kereta dinaiki suspek berdekatan Hospital Sungai Buloh kira-kira jam 1 tengah hari.
“Pihak polis cuba menahan mereka namun suspek tidak memberi kerjasama dan polis terpaksa mengejar kereta mereka hingga ke kawasan Jalan Kuala Selangor.
“Dalam kejadian kejar mengejar itu, kereta yang dinaiki suspek turut melanggar seorang penunggang motosikal wanita yang bekerja sebagai penghantar makanan. Wanita itu diseret dan digilis beberapa meter,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Pelanggaran dengan motorsikal tersebut menyebabkan laluan suspek terhalang dan suspek kemudian cuba mengundurkan kereta menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan apabila seorang daripada mereka keluar dari kereta bersenjatakan parang.
“Tembakan juga terpaksa dilepaskan bagi menyelamatkan penunggang motosikal yang dilanggar mereka. Semakan mendapati kumpulan ini memang dikehendaki polis kerana terbabit dalam lebih 50 kes samun bertopeng sejak awal tahun ini,” katanya.
“Dua daripada suspek mempunyai rekod dikehendaki polis kerana lari daripada perintah sekatan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959. Semakan juga mendapati kereta yang digunakan itu ada rekod samun di Petaling Jaya.
“Modus operandi kumpulan itu adalah menyamun rumah yang tidak menutup pintu pagar. Mereka memakai topeng atau topi keledar dan bersenjatakan parang. Senjata itu turut ditemui di dalam kereta suspek dan polis sedang menyiasat saki baki kumpulan ini,” jelasnya.