25 DIS : Sekurang-kurangnya enam pejuang penyokong Iran di Syria terbunuh akibat serangan roket Israel yang dilancarkan ke negara tersebut.
Agensi berita Syria, SANA melaporkan kesemua yang terkorban ialah pejuang separa tentera asing yang berkhidmat untuk pasukan Presiden Bashar al-Assad.
Menurut Ketua Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdul Rahman, roket yang dilancarkan dari ruang udara Lebanon itu membedil sebuah kawasan yang dikawal anggota tentera berkenaan di daerah Masyaf, wilayah Hama.
Selain itu katanya, serangan turut memusnahkan pusat penyelidikan kendalian kerajaan yang membangunkan dan menyimpan peluru berpandu dari permukaan ke permukaan.
Pusat penyelidikan di Masyaf sudah diserang berulang kali oleh tentera Israel, sejak kebelakangan ini.
Berdasarkan maklumat Amerika Syarikat (AS), gas sarin dihasilkan di pusat berkenaan, namun dakwaan itu disanggah pihak berkuasa Syria.
Syria sebaliknya menegaskan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang senjata kimia sejak memeterai perjanjian untuk menghapuskan pembangunan bahan sedemikian pada 2013 lalu.
Agensi berita Syria, SANA melaporkan unit pertahanan udara berjaya mematahkan roket yang dilancarkan Israel terhadap Masyaf.
Aktiviti serangan Israel jelas kedengaran di ruang udara negara jiran, Lebanon, sehingga sempat dirakamkan pelbagai pihak dan dikongsikan di media sosial sebagai tanda bantahan susulan sambutan Hari Natal.
Selain anggota tentera kerajaan, serangan sedemikian disasarkan kepada pasukan keselamatan bersekutu Iran dan pejuang tentera Lebanon, Hezbollah.
Setakat ini, Israel sudah melancarkan ratusan serangan terhadap Syria sejak perang saraf yang tercetus pada 2011.
Tentera Israel bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung laporan tersebut.