26 DIS : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pagi ini.
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka dan delegasi selamat mendarat pada jam 11 pagi tadi, menurut satu kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook Istana Negara hari ini.
Al-Sultan Abdullah kemudiannya menjalani ujian saringan COVID-19 di Kompleks Bunga Raya, KLIA mengikut ketetapan prosedur operasi standard oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“Selepas menjalani ujian saringan COVID-19 di Kompleks Bunga Raya, Seri Paduka Baginda turut berkenan memakai gelang kuarantin dan akan menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari,”
“Anggota delegasi Seri Paduka pula akan menjalani kuarantin diri di lokasi yang telah ditetapkan oleh KKM,” kata kenyataan itu.
Sebelum berangkat pulang ke tanah air, Seri Paduka turut menjalani ujian saringan COVID-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi.
Lawatan khas selama lima hari Seri Paduka ke Abu Dhabi yang berakhir semalam adalah atas jemputan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.