26 DIS : Satu aplikasi baharu yang berfungsi sebagai platform komunikasi dua hala antara kerajaan dengan pekerja tempatan dan asing akan diperkenalkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak lama lagi.
Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, aplikasi yang akan dilancar pada 11 Januari ini memberi peluang kepada pekerja untuk memaklumkan secara terus kepada kerajaan sekiranya berlaku sebarang pengabaian kebajikan oleh majikan terhadap pekerja mereka.
“Setakat ini, pekerja tidak mempunyai akses langsung kepada kerajaan untuk membuat aduan. Justeru,dengan adanya aplikasi baharu ini, pekerja boleh mengadu terus kepada kerajaan jika majikan mereka tidak mengikut prosedur operasi standard )SOP yang ditetapkan kerajaan.
“Sebagai contoh, majikan tidak menyediakan tempat tinggal selesa mengikut Akta 446 atau tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) kesihatan, maka pekerja boleh berhubung dengan kerajaan dan identiti mereka akan dirahsiakan.
“Melalui aplikasi ini, kita dapat berhubung secara langsung dengan pekerja, tidak kira sama ada mereka pekerja tempatan ataupun pekerja asing. Aplikasi ini dapat membantu mempercepat tindakan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) sekiranya berlaku penindasan,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan cek pinjaman pendidikan Maju Institute of Educational Development (MIED) 2020 kepada 301 penerima hari ini.
Aplikasi tersebut juga kata Saravanan lagi, disediakan dalam pelbagai bahasa itu bertujuan membantu pekerja tempatan dan asing untuk menyalurkan maklumat terus kepada pihak kerajaan.
Sementara itu, Saravanan turut mengingatkan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang ingkar dalam isu menjaga kebajikan pekerja mereka.
“Dan pada masa yang sama, KSM mahu mendorong majikan supaya lebih bertanggungjawab terhadap kebajikan pekerja mereka memandangkan imej negara kita kurang baik khususnya di peringkat antarabangsa (Pertubuhan Buruh Antarabangsa) (ILO) dari segi penjagaan pekerja,” jelas beliau.