27 DIS: Dua pegawai polis terbunuh dalam kejadian letupan melibatkan tiga ‘bom pelekat’ berasingan di Kabul, Afghanistan semalam.
Memetik laporan AFP, jurucakap polis Afghanistan, Ferdaws Faramarz berkata, bom itu dilekatkan pada kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka,
Beliau memberitahu, seorang orang awam juga cedera dalam insiden tersebut.
“Dua lagi anggota keselamatan juga cedera dalam kejadian letupan berasingan, namun menggunakan bahan peledak sama yang menyasarkan kereta pacuan empat roda polis, di daerah barat Kabul.
“Bom ketiga meletup di tengah bandar, tetapi tiada yang dilaporkan terkorban,” jelasnya.
Kabul dan beberapa wilayah di Afghanistan berdepan pelbagai insiden keganasan, termasuk pengeboman, serangan roket dan pembunuhan bersasar sejak beberapa bulan lalu.
Kumpulan militan Daesh didakwa mendalangi sebahagian daripada serangan berkenaan.