27 DIS: Kementerian Kesihatan mengesan satu kluster baharu yang dinamakan Kluster Jalan Sedco di Tawau dan Kalabakan, Sabah, hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks bagi kluster tempat kerja itu telah dilaporkan positif COVID-19 pada 20 Disember lalu melalui saringan individu bergejala.
“Sehingga 27 Disember 2020, sejumlah 26 individu telah disaring, di mana 14 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Secara keseluruhan, setakat hari ini, sebanyak 484 kluster telah dilaporkan termasuk Kluster Jalan Sedco.
Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 271 kluster ini termasuk tiga kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Kerengge, Kluster Alila, dan Kluster Gemilang.
Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 213 kluster.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 45 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.
Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tampoi Jaya (78 kes), Kluster Tapak Bina Jalan Stadium (63 kes), dan Kluster Beringin (30 kes). – Oleh HUSSAINI AMRAN