28 DIS: Kementerian Kewangan bercadang untuk memberi ganjaran kepada pegawai dan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang dapat meningkatkan keberkesanan pungutan hasil kepada kerajaan.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, dengan pelaksanaan insentif itu, ketirisan hasil kesan daripada kewujudan ekonomi gelap dan individu yang cuba lari daripada membayar cukai itu dapat ditangani dengan sebaiknya.
Menurut beliau, kaedah itu dapat mempertingkatkan penguatkuasaan ekonomi gelap selain mewujudkan ejen provokasi dan penglibatan peralatan-peralatan canggih bagi mendepani pihak penjenayah khsusnya yang melakukan aktiviti penyeludupan.
“Walaupun (penggunaan teknologi) harus berbelanja dengan lebih besar namun kita dapat memastikan bahawa kita mempunyai peralatan yang cukup seperti misalnya kita dapat memintas bot-bot laju dan kaedah-kaedah penyeludupan yang semakin canggih dilakukan oleh penyeludup-penyeludup.
“Kerajaan sentiasa mengambil berat bagi memastikan ekonomi gelap dapat dibanteras supaya kita dapat tingatkan pungutan hasil. Itu sebabnya, beberapa peruntukan undang-undang telah diperketatkan dan agensi-agensi penguatkuasaan ini telah dikordinasi untuk memastikan bahawa ketirisan dapat dielakkan dan mereka yang cuba mengelak cukai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Eksais (Pindaan) 2020 dalam sidang Dewan Negara, hari ini.
Terdahulu, Ahli Dewan Negara, Mohd Apandi Mohamad dalam perbahasannya membangkitkan tentang ekonomi gelap yang memberi kesan besar terhadap ketirisan hasil kerajaan.
Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Eksais (Pindaan) 2020 setelah undian suara mendapati lebih ramai Ahli Dewan Negara yang bersetuju. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH