28 DIS: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan bahawa bekalan vaksin COVID-19 hanya boleh diperolehi menerusi syarikat farmaseutikal dan tiada orang tengah yang akan dilantik bagi memastikan tiada keuntungan ‘atas angin’ diambil oleh pihak tidak bertanggunjawab.
Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, pemerolehan juga dilakukan menerusi tiga lagi kaedah, iaitu penyertaan dalam ‘Covax facility’ dan ‘Covax optional purchase agreement’, bilateral kerajaan dengan kerajaan (G2G) dan tender terbuka dalam jangka panjang.
“Saya yakin Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin yang dipengerusikan Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi di bawah seliaan Kementerian Kewangan akan memastikan semua perkara ini diutamakan agar rancangan penyediaan vaksin berada pada tahap optimum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 2020 dalam sidang Dewan Negara, hari ini.
Terdahulu, Ahli Dewan Negara, Senator Dr Ahmad Azam Hamzah dalam perbahasannya menyentuh tentang jaminan perolehan bekalan vaksin dalam memastikan tiada orang tengah yang akan mengambil keuntungan.
Dewan Negara meluluskan RUU Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 2020 setelah undian suara mendapati lebih ramai Ahli Dewan Negara yang bersetuju.
Dalam pada itu, menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk A Kesavadas tentang perbandingan harga vaksin COVID-19 Belgium dan Malaysia yang lebih murah, Mohd Shahar menegaskan dakwaan bahawa kos vaksin COVID-19 untuk seorang rakyat Malaysia lebih mahal daripada yang ditampung Belgium adalah tidak benar sama sekali.
Tambah beliau, kerajaan Belgium menempah 33.5 juta dos vaksin untuk diberikan kepada 16.7 juta rakyatnya dengan harga RM1.38 bilion.
“Belgium akan memberikan dua dos vaksin kepada setiap rakyatnya dengan anggaran harga RM82.40 (seorang),” katanya sewaktu menggulung Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 2020 di Dewan Negara di sini.
Kerajaan Malaysia pula katanya membayar RM2.05 bilion bagi perolehan 26.5 juta vaksin COVID-19 untuk diberikan kepada 26.5 juta rakyat negara ini.
“Harga bagi seorang rakyat Malaysia ialah RM77.35. Ini menunjukkan harga kita lebih rendah daripada Belgium. Saya harap penjelasan ini dapat mengelakkan kekeliruan yang timbul,” katanya.
Sebelum ini tular dakwaan Malaysia membayar harga vaksin COVID-19 kira-kira 20 kali ganda lebih tinggi berbanding yang dibayar kerajaan Belgium. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH