28 DIS : Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim memaklumkan tiga orang pengunjung Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu telah disahkan positif Covid-19 oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.
Sehubungan itu, beliau menasihati pengunjung yang mengunjungi Pasar Kedai Payang agar sentiasa berhati-hati dan mengamalkan SOP yang telah ditetapkan bagi mengelakkan jangkitan.
“Saya cukup khuatir dengan perkembangan itu kerana Pasar Kedai Payang menerima kunjungan pelancong yang agak luar biasa terutama di hujung-hujung tahun begini.
“Pagi ini saya menghubungi Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus dan beliau memaklumkan kepada saya, keputusan ujian saringan terhadap 126 peniaga di pasar tersebut negatif,” ujarnya menerusi satu hantaran di facebook rasminya.
Justeru, beliau mengingatkan para pengunjung agar sentiasa memerhatikan setiap aspek keselamatan dan SOP ketika berkunjung ke pasar tersebut.
“Mereka yg kurang sihat, demam, batuk, selsema, saya nasihatkan agar mengelakkan diri daripada berada di kawasan sesak,” ujarnya.