29 DIS: Walaupun industri pelancongan terkesan disebabkan pandemik COVID-19, kerajaan mempunyai perancangan yang kukuh bagi memastikan industri pelancongan dapat diselamatkan dengan sebaik mungkin.
Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, atas dasar itu, Kementerian Kewangan telah melaksanakan lapan langkah cukai sebagai kesediaan Malaysia menjadi sebuah pusat seni budaya dan pelancongan yang terkenal.
Menurut beliau, langkah pertama merupakan pelepasan cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan melancong negara yang bermula 1 Mac lalu sehingga 31 Disember selain melakukan lanjutan pelepasan cukai pendapatan indicidu sehingga RM1000 ke atas perbelanjaan melancong yang akan tamat pada penghujung tahun ini.
“Ketiga, kita juga melakukan pengecualian cukai perkhidmatan kepada hotel mulai 1 Mac 2020 hingga 31 Ogos 2020. Keempat, lanjutan pengeculaian cukai perkhidmatan hotel bagi 1 September sehingga 30 Jun 2021 dan kelima penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan mulai pendapatan mulai 1 April hingga 30 September lalu bagi industri pelancongan.
“Keenam, lanjutan penangguhan bayaran ansuran cukai pendapatan bagi industri pelancongan mulai 1 Oktober sehingga 31 Disember ini. Ketujuh, pengecualian cukai pelancongan bagi tempoh penginapan bermula 1 Julai hingga 30 Jun 2021 dan kelapan, peluasan skop berkenaan cukai pelancongan ke atas premis ditempah menerusi platform talian mulai 1 Julai 2021,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Pelancongan (Pindaan) 2020 dalam sidang Dewan Negara, hari ini.
Terdahulu, Ahli Dewan Negara, Senator Dr Yaakob Sapari ketika perbahasan membangkitkan perancangan yang dilakukan kerajaan bagi memastikan industri pelancongan dapat diselamatkan dengan segera.
Dewan Negara meluluskan RUU Cukai Pelancongan (Pindaan) 2020 setelah undian suara mendapati lebih ramai Ahli Dewan Negara yang bersetuju.
Dalam pada itu, menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negara, Senator Idris Ahmad yang membangkitkan kerisauan beliau jika cukai ini dipinda akan memberi kesan kepada kedatangan pelancong asing, Mohd Shahar memberi jaminan pindaan ini langsung tidak akan menjejaskan perkara tersebut.
Menurut beliau, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, jumlah pelancong asing sentiasa meningkatkan kecuali pada tahun ini disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda dunia.
“Jangan risau, kadar cukai yang kita kenakan kepada pelancong asing hanya RM10 sahaja. Jika kita bandingkan dengan negara-negara lain, Malaysia jauh lebih rendah berbanding negara lain,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH