29 DIS: Kerajaan telah memperoleh RM428 juta hasil daripada pelaksanaan cukai kepada penyedia perkhidmatan digital di Malaysia yang telah dimulakan pada Januari lalu.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata keuntungan ini membuktikan cukai yang dikenakan terhadap peyedia perkhidmatan digital itu merupakan satu ekosistem yang seimbang dapat diwujudkan.
Menurut beliau, kerajaan juga akan menambah baik cukai terhadap penyedia perkhidmatan digital asing bagi memastikan kandungan rancangan tidak melanggar budaya dan undang-undang yang telah ditetapkan
“Cukai perkhidmatan bukan sahaja dikenakan kepada penyedia tempatan tetapi sudah memulakan usaha-usaha untuk memungut hasil dari perkhidmatan digital asing seperti Netflix, Amazon dan setakat ini berjaya mengutip RM428 juta.
“Ini merupakan sumber kekayaan baharu dan akan berusaha meningkatkan pungutan cukai bagi perkhidmatan digital asing dan kandungan yang terdapat dalam multimedia tersebut,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2020 dalam sidang Dewan Negara, hari ini.
Terdahulu, Ahli Dewan Negara, Senator N Balasubramaniam ketika perbahasan membangkitkan membangkitkan berapakah pulangan yang diterima kerajaan sejak mengenakan cukai terhadap penyedia perkhimatan digital tempatan dan asing.
Dewan Negara meluluskan RUU Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2020 setelah undian suara mendapati lebih ramai Ahli Dewan Negara yang bersetuju.
Dalam pada itu, menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negara, Senator N Balasubramaniam berkenaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Abdul Rahim memberitahu kerajaan masih lagi berpendirian bahawa kajian terperinci perlu dilakukan bukan sahaja terhadap cukai itu malah cukai-cukai lain yang digunakan di negara-negara lain.
Tambah beliau, kerajaan juga akan meningkatkan penguatkuasaan kutipan cukai yang jika perkara ini dapat diperkukuhkan, hasil kerajaan dapat dipertingkatkan walaupun tiada cukai baharu dilaksanakan. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH